Sunday, September 6, 2009

dakwah dengan hikmah

hikmah

Adalah satu perkara yang sangat sukar untuk menentukan makna hikmah secara teorinya. Secara mudah hikmah bererti bijaksana, bijaksana bererti sesuatu yang sesuai. Manakala sesuai pula bergantung kepada keadaan. Sesuatu keadaan boleh jadi sesuai bagi seseorang, tetapi tidak sesuai bagi orang lain. Maka hikmah berkait rapat dengan keadaan untuk menentukan ia bersesuaian.

Ahli tafsir menghuraikan makna hikmah dengan berbagai-bagai ulasan. Sayyid Qutb(1977,jil.4:2201-2202) telah memberi ulasan yang agak menarik, iaitu hikmah yang disebutkan dalam surah al-Nahl:125 ialah dengan melihat kepada keadaan sasaran dan suasana mereka, kadar yang perlu supaya tidak memberatkan mereka dan menyusahkan mereka sebelum mereka bersedia. Ia juga termasuk cara penjelasan dan kepelbagaian mengikut keperluan dan jangan sekali-kali berdasarkan semangat yang boleh terkeluar daripada hikmah.

Al-Bayanuni (1993:245) menjelaskan bahawa hikmah dalam dakwah ialah suatu uslub yang sesuai dengan keadaan sasaran. Ia bererti meletakkan suatu pada tempatnya. Al-bayan menambah bahawa uslubhikmah itu terdapat pada sudut-sudut berikut untuk disesuaikan dengan sasaran, iaitu:

1.pemilihan isi atau pendekatan isi.
2. uslub dengan makna khusus atau bentuk persembahan isi.
3. pemilihan saluran atau media.

Dengan itu, hikmah itu dilakukan dalam bermacan-macam bentuk dan gaya. Ada dengan cara lembut dan ada dengan cara keras. Ali al-Murshid (1989: 148-149) menjelaskan bahawa hikmah itu tidaklah selamanya mengandungi pengertian lembut,rahmat,kasih saying biasa, perkataan yang dianggap baik dan tenang. Ia juga bererti lembut dan kuat, kasih saying dan perang.

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri ada ketikanya melayan para sahabatnya dengan kasar. Sikap demikian dapat dilihat ketika baginda berhadapan dengan tiga orang sahabatnya yang tidak ikut serta dalam perang tabuk(9H). mereka bertiga ialah Kaab ibn Malik, Mirarah ibn Rabi dan Hilal ibn Umayyah. Nabi dan para sahabat yang lain, termasuk juga isteri-isteri mereka bertiga melakukan boikot sehingga sampai tidak menjawab ucapan salam mereka bertiga selama beberapa ketika (al-Nadawi,1977:311-315). Begitu juga sesetengah golongan orang kafir dan munafik ada arahan supaya dilayan dengan kasar (maksud surah Tahrim: 9). Keadaan-keadaan tersebut juga adalah hikmah.

Namun, hikmah itu bermula dengan lembut, kerana lembut lebih selesa, lebih damai dan lebih membawa kepada ketengan. Arahan Allah kepada Nabi Musa a.s dan Harun a.s supaya berdakwah kepada Firaun yang keras dan zalim dengan cara lembut seperti terdapat dalam surah Taha: 43-44, satu daripada contoh yang dakwah itu bermula dengan lembut.

0 comments:

Post a Comment

 

HIJRAH MENUJU ALLAH Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template